4.14.2012

-- Demi Masa--



Setiap saat adalah peluang

"Masa itu adalah emas". Perumpamaan yang sudah lama kita dengar, dan tentu sekali kita sudah pun tahu apakah maksudnya bukan? Masa sentiasa bergerak ke hadapan. Berjalan dan terus berjalan.

Tanpa berpatah balik, dan mustahil bagi masa untuk menunggu kita. Sejak kita dikandungkan dalam perut ibu, kemudian dilahirkan ke dunia, melalui fasa fasa zaman yang berbeza. Zaman bayi, zaman kanak-kanak, zaman remaja, zaman dewasa, dan mungkin nanti, InsyaAllah, zaman usia emas. Warga emas. Berpeluangkah kita untuk melalui setiap fasa zaman itu? Dan di fasa manakah kita berada ketika ini?

Cuba kita hitung umur kita pula. Mungkin ada yang baru berusia belasan tahun, mungkin ada juga yang baru ingin mencecah puluhan tahun, dan mungkin ada juga yang telah pun masuk ke alam puluhan.  Masing masing mungkin berada di fasa usia yang berbeza, tetapi hakikatnya, kita punya satu tujuan hidup yang sama. Cuma mungkin, berlainan cara pemikiran bergantung kepada tahap usia seseorang.

Selepas umur dihitung, cuba kita hitung semula masa yang ada. Berapa banyak masa yang telah kita habiskan. Dan dengan cara apa kita habiskan masa itu? Ya Allah, sungguh ternyata, masa itu tidak akan mampu untuk kita hitung. Apatah lagi untuk menghitung segala pengisian setiap saat tersebut. Tidak tergambar betapa banyaknya masa yang telah kita gunakan. Guna untuk itu, guna untuk ini. Gunakan untuk dia dan dia, mahupun mereka. Dan juga gunakan untuk diri sendiri.

Ketika ini, ambil sedikit masa. Lihatlah diri dalam cermin. Renung secara dalam. Cuba cari kesimpulan, secara keseluruhan, masa itu kita guna untuk apa? Ternyata, sekali lagi kita hanya mampu terdiam.

Kita renung juga Firman Allah S.W.T dalam surah Al- Asr,
"Demi Masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Melainkan yang beriman dan yang beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. "
(Surah Al Asr)


                                   ---------------------------------------------------------------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan